SHAH ALAM: Hobi seorang pesara swasta menyimpan tujuh senjata api tanpa lesen sebagai koleksi peribadinya memakan diri apabila diberkas di rumahnya di Serendah, Hulu Selangor kelmarin.
Serbuan kira-kira pukul 5 petang itu turut merampas empat ‘magazine’ bersama 186 peluru pelbagai jenis daripada lelaki berusia 69 tahun berkenaan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan awal mendapati suspek menyimpan kesemua senjata itu antara 10 hingga 20 tahun.
Jelasnya, senjata itu hasil pemberian rakan kenalannya masing-masing pistol jenis Revolver dan CZ 75 Compact Cal. 9, senapang jenis Cal 22/5.5M selain empat senapang angin menyerupai AK47, M4 dan pistol jenis Glock P38 serta sekotak taser gun.
“Semakan lanjut mendapati tiga daripadanya adalah senjata api betul manakala empat lagi senjata angin.
“Kesemuanya disimpan di dalam peti keselamatan dan almari khas di rumah lelaki tersebut,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini, petang tadi.
Menurut Hussein, polis masih menyiasat sama ada senjata api itu digunakan dalam kes jenayah dan turut mengesan individu yang memberikannya kepada suspek.
“Kami telah merakam keterangan lima saksi setakat ini dengan suspek kini direman selama enam hari sehingga 27 April depan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 7 Akta Senjata Api (Penalti lebih berat) 1971, Seksyen 36 dan Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960 dan Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama 1963 (Penggunaan tidak wajar) pindaan 2016,” ujarnya.
Tambah beliau, pemeriksaan turut mendapati suspek menggunakan Jata Kerabat Diraja Perak palsu di dua buah kenderaannya masing-masing jenis BMW dan Mitsubishi Triton.
“Ini selepas kami membuat semakan dengan Pejabat Bahagian Istiadat dan Urusetia Persidangan Antarabangsa (BIUPA).
“Namun, tiada sebarang rekod penerimaan darjah kebesaran, pingat, gelaran atau anugerah daripada Institusi Diraja Malaysia ke atas suspek,” tegasnya. – UTUSAN