TAPAH: Pengerusi PN Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengesahkan menghantar surat permohonan kepada Speaker DUN Perak untuk menukar tempat duduk ADUN Sungai Manik dari Bersatu, Datuk Zainol Fadzi Paharudin dalam DUN negeri.
Menurutnya, namun permohonan tersebut ditolak dalam surat jawapan balas yang diterimanya.
“Apa yang disahkan oleh Speaker adalah benar. Saya selaku Pengerusi PN Perak telah menghantar surat kepada beliau untuk mengubah susun atur tempat duduk blok pembangkang dan saya juga faham hak untuk menetapkan kerusi untuk ahli-ahli Dewan adalah kuasa penuh Speaker.
“Saya sudah terima surat balas daripada Setiausaha Bahagian Dewan yang menyebut permohonan saya ditolak, kerana senioriti bagi pandangan Pejabat Speaker.
“Saya pelik kerana speaker menyebut fasal senioriti atau pengalaman ahli dewan bagi pihak kami, ganjil tapi kami terima baik,” katanya kepada pemberita pada Ceramah Mega PN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning di sini semalam.
Pada Mac lalu, Zainol Fadzi melepaskan jawatan sebagai Setiausaha Bersatu Perak selepas hampir enam tahun memegang tanggungjawab itu.
Zainol Fadzi yang merupakan Ketua Whip Pembangkang sebelum ini duduk bersebelahan dengan Ketua Pembangkang, Razman Zakaria dan ADUN Selama, Mohd Akmal Kamarudin.
Kedudukan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu itu ditentukan berdasarkan kedudukan paling kanan selepas Ketua Pembangkang kerana telah berkhidmat sebagai ADUN selama empat penggal dari 2008 sehingga kini.
Beliau yang juga Ketua Bersatu Bahagian Pasir Salak itu juga pernah menjadi Exco Kerajaan Negeri Perak selama tiga penggal sehingga tahun 2022. – UTUSAN