Permohonan tukar tempat duduk DUN tidak dibawa dalam mesyuarat PN - Utusan Malaysia

Permohonan tukar tempat duduk DUN tidak dibawa dalam mesyuarat PN

ZAINOL FADZI PAHARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: ADUN Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin mengakui terkejut dengan tindakan Perikatan Nasional (PN) Perak yang memohon kepada Speaker supaya menukar tempat duduk beliau dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).

ADUN Bersatu itu berkata, beliau sudah dimaklumkan oleh Speaker, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid mengenai surat permohonan tersebut yang ditandatangani oleh Pengerusi PN Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal  Azumu.

Zainol Fadzil menegaskan sedia menerima apa jua keputusan yang akan dibuat Speaker.

“Namun saya kesal kerana permohonan tersebut tidak dirujuk kepada Jawatankuasa PN negeri, tak ada mesyuarat pun, hanya terus keluar surat (kepada Speaker).

“Saya difahamkan Pas pun terkejut dan mereka kata tiada mesyuarat, mereka kata mana boleh buat keputusan macam ini tanpa ada mesyuarat,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Zainol Fadzi yang meletak jawatan sebagai Setiausaha Bersatu Perak pada Mac lalu berkata, beliau tidak pasti punca permohonan PN menukar tempat duduk beliau dalam DUN dan jika disebabkan senioriti dalam parti, permohonan itu dibuat tanpa merujuk peraturan Dewan.

Menurutnya, ini kerana kedudukan ADUN dalam dewan bukan berdasarkan senioriti parti tapi senioriti dalam pentadbiran negeri.

“Permohonan ini mungkin sebab saya bukan Setiausaha (Bersatu Perak) lagi. Namun kedudukan ADUN dalam dewan bukan berdasarkan senioriti parti tapi senioriti dalam pentadbiran negeri.

“Saya saya pernah jadi exco, jadi ADUN sebab itu saya (tempat duduk DUN) diletakkan selepas Ketua Pembangkang. Kalau isunya senioriti, saya lebih senior lagi, kenapa jadi isu. Kalau dalam struktur parti pula, saya Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu. Apabila buat permohonan tanpa merujuk peraturan dalam dewan inilah jadinya,” katanya.

Terdahulu, Mohammad Zahir mengesahkan menerima surat permohonan daripada PN Perak bagi menukar tempat duduk Zainol Fadzi.

Menurut Mohamad Zahir, surat yang ditandatangani oleh Ahmad Faizal tersebut diterimanya pada 16 April lalu ketika Persidangan DUN Perak berlangsung.

Difahamkan perubahan tempat duduk Zainol Fadzi dicadangkan dengan ADUN Changkat Jong, Nadziruddin Mohamed Bandi.

Pada Mac lalu, Zainol Fadzi melepaskan jawatan sebagai Setiausaha Bersatu Perak selepas hampir enam tahun memegang tanggungjawab itu.

Zainol Fadzi yang merupakan Ketua Whip Pembangkang duduk bersebelahan dengan Ketua Pembangkang, Razman Zakaria dan ADUN Selama, Mohd Akmal Kamarudin.

Kedudukan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu itu ditentukan berdasarkan kedudukan paling kanan selepas Ketua Pembangkang kerana telah berkhidmat sebagai ADUN selama empat penggal dari 2008 sehingga kini.

Beliau yang juga Ketua Bersatu Bahagian Pasir Salak itu juga pernah menjadi Exco Kerajaan Negeri Perak selama tiga penggal sehingga tahun 2022. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya