PETALING JAYA: Pelawak, Shuk Sahar, didakwa telah melafazkan cerai talak satu terhadap isterinya, Fara Salleh, menerusi satu panggilan telefon.
Jelas Fara, 33, panggilan itu diterima sekitar pukul 12.45 tengah hari dari pejabat agama Satun, Thailand pada Isnin.
Bagaimanapun, imam dan pegawai agama di sana meminta agar pelawak itu tetap menguruskan perceraian selari dengan undang-undang di Malaysia.
“Alhamdulillah, Allah permudahkan. Saya rasa gembira dan tenang sebab selama ini saya tertunggu-tunggu berapa lama proses ini akan selesai.
“Selama bergelar isteri masih banyak batas yang perlu diikuti. Secara sahnya kami memang sudah bercerai, cuma dari segi undang-undang kami tiada dokumen lengkap.
“Saya akan selesaikan pengesahan pendaftaran nikah kami 15 April ini di sini. Saya tak akan diam dan jadi bodoh sebab kami ada anak,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tambah Fara yang sedang hamil, dia tidak akan memberi peluang kedua kepada Shuk Sahar mengenangkan layanan buruk yang diberikan pelawak itu ketika masih bergelar suami.
“Kalau dia datang, saya halau. Pergi berambus sebab dari awal mengandung dia tidak bertanggungjawab padahal dia ada dua anak dan berpengalaman menguruskan bekas isteri.
“Sejujurnya saya pun tak nak terima maaf dia sebab apa yang dia buat dari bulan puasa memang tidak boleh terima akal.
“Selama dalam perkahwinan, dia tak pernah melindungi dan bertanggungjawab. Kalau dia kata nak bertanggungjawab, kenapa ceraikan saya di sana?
“Padahal dia dah terima surat 15 April ini untuk pergi pejabat agama buat pengesahan perkahwinan. Nampak dia enggan bertanggungjawab terhadap anak ini dan mahu bercerai cepat,” tambahnya.
Terdahulu, Fara dan Shuk, mendirikan rumah tangga pada November 2023.
Sebelum ini Shuk berkahwin dengan Rossa Sera namun bercerai pada 22 Mac 2023. -UTUSAN