SEREMBAN: Peremajaan parti bukan hanya mengenai umur semata-mata sebaliknya turut memberikan peluang kepada individu berpengalaman luas dalam arena politik termasuklah ahli akademik untuk bertanding.
Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Mohamad Yusri Bakir 54, dipilih sebagai calon BN bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning mengambil kira kelulusan akademiknya selain berpengetahuan luas dalam politik.
“Jadi, ini yang kita katakan sebagai meremajakan parti. Tidak semestinya semua perlu orang muda.
“Apabila kita katakan meremajakan parti itu, kita tidak mengatakan daripada segi umur sahaja tapi daripada segi berbagai-bagai termasuklah gerak kerja dan memberikan peluang kepada ahli akademik (untuk bertanding) macam-macam.
“Kita pilih pemuda bagi PRK Nenggiri dan PRK Mahkota kerana itu calon yang terbaik dan sesuai dan ia daripada pemuda antara yang baiklah, di Ayer Kuning, Dr. Mohamad Yusri ini antara yang terbaik tetapi bukan bermakna di Ayer Kuning juga perlu calon daripada kalangan orang muda,” katanya di sini hari ini.
Beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata demikian ketika ditemui pemberita pada sambutan Hari Raya Aidilfitri Pentadbiran Daerah Seremban di Kompleks Pentadbiran Daerah Seremban, di Seremban 2 di sini hari ini.
Mohamad berkata, pemilihan Mohamad Yusri sebagai calon mewakili BN juga adalah keputusan yang terbaik selepas proses pemilihan dilakukan dengan penuh teliti.
“Antara enam nama dicadangkan, kita lihat semua bagus. Dr. Mohamad Yusri dipilih untuk menyambung apa yang dilakukan oleh Allahyarham Ishsam Shahruddin dan saya yakin beliau seorang calon mempunyai kredibiliti baik, latar belakang termasuklah akademik cemerlang.
“Yang penting beliau sebagai Setiausaha UMNO Bahagian Tapah, juga disenangi di peringkat bahagian dan juga orang ramai,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 26 April sebagai hari pengundian PRK Ayer Kuning manakala penamaan calon dan pengundian awal ditetapkan pada 12 dan 22 April ini. – UTUSAN