Peranan suami titik tolak saya sertai Pas - Wan Norashikin - Utusan Malaysia

Peranan suami titik tolak saya sertai Pas – Wan Norashikin

WAN Norashikin Wan Noordin (kiri) ketika mengikuti kempen PN pada PRK Ayer Kuning di Tapah hari ini. - UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAPAH: Bekas Ketua Wanita UMNO Negeri Perak, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin menyertai Pas kerana yakin dengan kebenaran perjuangan Islam yang dibawa parti itu.

Bekas ADUN Kampung Gajah itu tidak menafikan suaminya, Muhamad Noor Farid Zainal yang merupakan Setiausaha Pas Kawasan Tapah berperanan penting dalam keputusannya menyertai Pas.

Menurutnya, semangat dan sokongan suami menguatkan lagi tekadnya untuk meneruskan perjuangan dalam platform yang baru bersama Pas.

“Memang benar saya telah berkahwin dengan seorang pemimpin Pas kira-kira setahun lebih yang lalu dan saya tidak menafikan memang suami berperanan penting menjadi titik tolak membuka ruang lebih luas untuk saya mengenali Pas lebih dekat dan mendalami nilai-nilai yang diperjuangkan Pas.

“Semangat dan sokongan beliau menguatkan lagi tekad saya untuk meneruskan perjuangan saya dalam platform yang baru ini.

“Hijrah saya ke dalam Pas ini lahir daripada kesedaran dan keyakinan diri sendiri terhadap kebenaran jalan perjuangan dan bukan semata-mata kerana ikatan peribadi ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Wan Norashikin kematian suami, Edi Razman Mohd Ismail yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada Mei 2021.

Mengulas lanjut, Wan Norashikin yang merupakan bekas exco kerajaan negeri berkata, keputusan menyertai Pas selepas muhasabah yang panjang dan pemerhatian yang mendalam serta keyakinan terhadap kebenaran ketulinan perjuangan Islam yang dibawa Pas.

Beliau percaya perjuangan Pas bukan semata-mata bersifat politik tetapi satu usaha murni untuk menegakkan syariat, menyantuni rakyat dan membawa rahmat ke seluruh alam.

Wan Norashikin berkata, bermula sejak kerjasama UMNO dan Pas dalam Muafakat Nasional (MN) pada tahun 2019 lagi, beliau meneruskan persahabatan baik bersama Pas hingga kini.

“Saya nampak Pas inilah pilihan yang terbaik buat saya. Saya tetap akan meneruskan perjuangan agama bangsa dan tanah air dalam wadah perjuangan yang baru ini cumanya kaedah dan keutamaan perjuangan saya akan lebih berbeza walau matlamat tetap sama

“Saya dapat merasakan suara saya akan lebih kuat didengari dalam platform perjuangan yang baru ini.

“Hati saya bukan milik saya, Allah yang menggerakkan untuk saya meneruskan perjuangan di persada yang berbeza namun matlamat tetap sama.

“Saya percaya Pas adakah wadah terbaik untuk saya buat ketika ini bagi menyumbang tenaga dan kepakaran dalam memperjuangkan kebajikan rakyat serta memartabatkan nilai Islam dalam kehidupan bernegara,” katanya.

Wan Norashikin berkata, beliau tiada masalah dalam parti dan pimpinan UMNO dan menyertai Pas ketika hubungan dengan parti, pimpinan dan kawan-kawan dalam UMNO dalam keadaan yang baik.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada seluruh pimpinan dan ahli UMNO kerana telah lama berjuang bersama-sama dan diharapkan hubungan tersebut tetap terjalin kerana Allah.

“Kepada Pas saya berterima kasih kerana menerima saya dengan penuh kasih sayang dan semangat ukhuwah, saya akan berusaha untuk memberikan sumbangan terbaik semampu saya,” katanya.

Ditanya tindakannya mengumumkan penyertaan dalam Pas ketika kempen PRK Ayer Kuning, Wan Norashikin berkata, ketika ini adalah masa dan medan paling sesuai kerana seluruh perhatian umat Islam, Melayu serta rakyat di Ayer Kuning. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya