IPOH: Perak mengibarkan bendera negeri separuh tiang hari ini sebagai menghormati pemergian Perdana Menteri Malaysia kelima, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi yang meninggal dunia semalam.
Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim berkata, kibaran bendera negeri separuh tiang itu adalah mengikut titah Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, bagi menzahirkan rasa sedih dan dukacita seluruh rakyat negeri Perak atas pemergian Allahyarham.
“Oleh yang demikian, mohon tindakan dengan serta merta pada hari ini, 15 April 2025 (Selasa).
“Kibaran bendera secara separuh tiang ini adalah khusus bagi Bendera Negeri Perak sahaja dan hendaklah dilaksanakan di semua premis kerajaan termasuk kediaman rasmi dan kuarters kerajaan.
“Sehubungan itu, semua jabatan, agensi serta pihak berkaitan adalah dimohon untuk melaksanakan titah ini dengan penuh tertib dan hormat,” katanya.
Sultan Nazrin menitahkan perkara tersebut sewaktu menyampaikan Titah Diraja sempena Istiadat Pembukaan Rasmi Tahun Ketiga Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan Ke-15 di sini hari ini.
Perdana Menteri kelima itu meninggal dunia pada usia 86 tahun di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur malam tadi kira pukul 7.10 malam tadi akibat masalah pernafasan. – UTUSAN