Perak aktifkan MTEN kesan tarif AS - Utusan Malaysia

Perak aktifkan MTEN kesan tarif AS

SAARANI Mohamad bertanya khabar dengan ADUN Selama, Mohd. Akmal Kamaruddin di Dewan Undangan Negeri Perak semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Majlis Tindakan Ekonomi Negeri (MTEN Perak) diaktifkan semula sebagai reaksi kepada dasar tarif yang dilaksanakan oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kerajaan negeri peka dan prihatin terhadap kegusaran rakyat berhubung ketidaktentuan landskap ekonomi global.

Katanya, keadaan itu sudah pasti memberi kesan secara langsung mahupun tidak langsung kepada ekonomi negeri dan juga kesejahteraan rakyat.

“Sejajar dengan komitmen untuk memastikan kelangsungan dan kestabilan ekonomi negeri, kerajaan ngeri telah mengambil langkah strategik dengan mengaktifkan semula MTEN Perak sebagai platform konsultasi Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan pihak-pihak berkepentingan,” katanya semasa penggulungan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini semalam.

Trump yang baru menjadi Presiden pada awal tahun ini, melancarkan tarif kepada pelbagai negara termasuk Malaysia walaupun kemudian mengumumkan beberapa penangguhan.

Saarani berkata demikian sebagai menjawab cadangan penubuhan unit tindak balas bagi menilai impak dasar luar ekonomi terhadap sektor pekerjaan dan pelaburan negeri.

Tambahnya, antara fokus perbincangan MTEN Perak ialah memantau perkembangan ekonomi nasional mahupun global serta menilai keberkesanan pelaksanaan dasar ekonomi di peringkat negeri menerusi pengumpulan data dan mengesyorkan langkah-langkah penyesuaian.

Selain itu ialah menyediakan platform untuk rundingan bersama sektor swasta, badan bukan kerajaan, masyarakat sivil serta pihak-pihak berkepentingan lain.

“Ia untuk merangka serta melaksanakan dasar dan strategi ekonomi negeri yang lebih inklusif dan berpaksikan kesejahteraan rakyat.

“Seterusnya, hasil perbincangan di platform MTEN Perak ini akan dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) untuk dipertimbangkan dan diputuskan sebagai punca kuasa atau mandat untuk dilaksanakan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya