MELAKA: Polis menyelesaikan lima kes ragut di sekitar Melaka Tengah membabitkan nilai kerugian lebih RM10,000 susulan penangkapan seorang penganggur di Malim di sini, semalam.
Lelaki berusia 31 tahun itu ditahan kira-kira pukul 1 petang oleh sepasukan anggota dari Cawangan Siasatan Khas (D9) Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah bersama `task force’ Balai Polis Malim, dibantu orang awam.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, kejadian ragut tersebut berlaku di kawasan parkir sebuah pasar raya di Malim Rabu lalu, membabitkan seorang lelaki warga emas berusia 70 tahun.
Katanya, bertindak atas maklumat, polis segera ke lokasi dan mendapati suspek masih berada di kawasan berhampiran.
“Suspek yang menyedari kehadiran polis bertindak melawan dan melarikan diri dengan motosikal. Polis meminta bantuan sekumpulan penunggang p-hailing yang berada berhampiran untuk membantu memberkas suspek,” katanya kepada pemberita.
Semalam, tular rakaman video berdurasi 47 saat memaparkan seorang lelaki dikejar dan ditahan sekumpulan penghantar makanan selepas dipercayai melakukan jenayah ragut di sebuah pasar raya.
Tambah Dzulkhairi, susulan tangkapan itu polis merampas dua buah telefon bimbit pelbagai jenama, sebuah motosikal, kad bank, kad pengenalan, serangkai kunci dan wang tunai berjumlah RM107.
Katanya, hasil soal siasat suspek mengaku terlibat dalam lima kes ragut di sekitar Melaka Tengah dan bergiat aktif sejak Januari lalu.
“Suspek memiliki dua rekod jenayah lampau sementara ujian saringan air kencing mendapati lelaki itu positif dadah jenis nimetazepam. Suspek direman selama enam hari sehingga 29 April ini.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana meragut,” ujarnya. – UTUSAN