Penyelenggara penyaman udara didakwa ragut wanita Indonesia

Penyelenggara penyaman udara didakwa ragut wanita Indonesia

A. THINES (kiri) yang dituduh melakukan jenayah curi ragut dibawa ke Mahkamah Sesyen di George Town, Pulau Pinang hari ini untuk dibicarakan. - UTUSAN/SAFINA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Seorang penyelenggara penyaman udara dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan melakukan jenayah curi dan ragut terhadap seorang wanita warga Indonesia, pada 17 April lalu.

Tertuduh, A.Thines, 25, bagaimanapun tidak mengaku bersalah dan meminta supaya dibicarakan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan, Hakim Juraidah Abbas.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah mencuri beg berjenama Longchamp berwarna biru gelap yang mengandungi wang tunai RM1,000; telefon bimbit, pasport dan kad kredit milik Novita Badjo.

Tertuduh juga didakwa dengan sengaja menyebabkan ketakukan akan berlaku kecederaan serta-merta terhadap mangsa. Perbuatan itu didakwa dilakukan kira-kira pukul 4.30 petang di tepi jalan Jalan Kuala Kangsar, di George Town, pada 17 April lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Puteri Nor Nadia Mohamed Iqbal, bagaimanapun tidak menawarkan sebarang jaminan memandangkan pertuduhan kes di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan bukan satu kesalahan yang boleh dijamin.

Puteri Nor Nadia berkata, ketika kejadian itu berlaku, tertuduh sebenarnya sedang dibicarakan untuk satu lagi kes melibatkan jenayah curi di Mahkamah Balik Pulau dan telah diberikan jaminan buat sementara waktu.

“Bagaimanapun, semasa dalam jaminan, tertuduh sekali lagi telah melakukan jenayah curi dan ia menunjukkan satu pola jenayah (berterusan) apabila tertuduh terus melakukan jenayah curi ragut,” katanya yang memohon mahkamah untuk mengenakan wang jaminan yang tinggi kepada tertuduh.

Dalam pada itu, tertuduh yang tidak diwakili peguam kemudian memohon mahkamah untuk mengurangkan wang jaminan memandangkan dia hanya berpendapatan RM1,600 sebulan dan isterinya juga sedang sarat mengandung ketika ini.

Mahkamah kemudian menetapkan wang jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin tempatan selain tidak dibenarkan tertuduh untuk mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Tertuduh juga diperintah untuk melapor diri di balai polis setiap bulan dan mahkamah menetapkan 28 Mei depan bagi sebutan semula kes.

Terdahulu, tular di media sosial seorang wanita diragut seorang lelaki yang menaiki motosikal. Ketika kejadian, mangsa, seorang wanita warga asing berusia 40 tahun sedang berjalan bersendirian sebelum didatangi oleh seorang penunggang motosikal dari arah belakang yang meragut beg tangan miliknya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya