Penutupan saluran gas Putra Heights: MITI, Kesuma kumpul data syarikat, kilang, pekerja terjejas.

Penutupan saluran gas Putra Heights: MITI, Kesuma kumpul data syarikat, kilang, pekerja terjejas.

FAHMI Fadzil ketika sidang akhbar di Kementerian Komunikasi di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan telah mengarahkan kementerian berkaitan supaya mendapatkan data penuh mengenai syarikat, kilang dan pekerja yang terjejas dengan penutupan saluran gas susulan letupan di Putra Heights baru-baru ini.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, dua kementerian masing-masing Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) akan mengumpul data berkenaan.

Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, tumpuan utama insiden itu pastinya bagi mengenal pasti punca kejadian namun, isu bekalan gas terputus dihadapi sejumlah syarikat dan kilang yang terkesan turut diteliti oleh kerajaan.

“Pada petang ini juga, Suruhanjaya Tenaga (ST) akan bertemu dengan Persekutuan Pekilang Malaysia (FMM) bagi membincangkan mengenai isu bekalan gas ini.

“Malah, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah minta MITI dan KESUMA untuk mendapatkan senarai penuh semua kilang dan syarikat yang terkesan akibat penutupan saluran gas itu,” katanya dalam sidang akhbar pasca mesyuarat Kabinet di sini hari ini.

Fahmi berkata, bagi pihak kerajaan, sudah pasti usaha memperbaiki saluran tersebut dan mengembalikan bekalan gas bagi syarikat-syarikat ini menjadi satu keutamaan.

“Tapi kita juga memahami bahawa proses siasatan masih berjalan dan tertakluk kepada beberapa aspek
dalam proses siasatan tersebut,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, insiden kebakaran dan letupan saluran gas di Putra Heights telah menjejaskan perkhidmatan saluran paip di sekitar zon tengah, termasuk Shah Alam, Klang, Puchong, dan Batu Tiga.

Petronas Gas Bhd (PGB) dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya akan bekerjasama dengan pihak berkuasa dan syarikat pengangkutan untuk melaksanakan langkah mitigasi bagi memastikan keselamatan bekalan dan pemulihan perkhidmatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya