KUALA TERENGGANU: Seorang penunggang motosikal hampir merempuh dua anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu apabila bertindak agresif melanggar sekatan jalan raya (SJR) di Jalan Sultan Mohamad di sini, malam tadi.
Kejadian tersebut berlaku ketika Operasi Penutup Khas Hari Raya Aidilfitri (HRA) pada pukul 9 malam.
Pengarah JPJ Terengganu, Mohd. Zamri Samion berkata, penunggang motosikal Yamaha Y16 yang berusia 41 tahun itu cedera selepas merempuh papan SJR berkenaan.
Katanya, lelaki terbabit yang bekerja mekanik didapati enggan berhenti untuk pemeriksaan, selain memecut laju motosikalnya sebaik sahaja ditahan anggota JPJ di lokasi SJR.
“Tindakan yang dilakukan oleh penunggang motosikal sangat ekstrem dan boleh membahayakan anggota kita,” katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya di sini, hari ini.
Beliau berkata, penunggang motosikal itu disiasat di bawah Seksyen 43 dan akta-akta lain yang berkaitan dan pemeriksaan lanjut mendapati mekanik tersebut bukan sahaja tidak mempunyai lesen memandu malah motosikal dinaiki juga tiada perlindungan insurans serta luput cukai jalan. – UTUSAN