SEREMBAN: Seorang penternak kambing berputih mata apabila lima ekor ternakannya itu mati dipercayai dibaham harimau kumbang dalam kejadian di Jalan Jelatok, Mendom, Lenggeng di sini, awal pagi tadi.
Penternak terbabit, Abdul Rahman Abdullah 70, berkata, dia dimaklumkan kejadian itu menerusi panggilan telefon oleh menantunya Erlinda Ahmad 47, pada pukul 6 pagi selepas terdengar bunyi harimau.
“Risau dan takut dengan keadaan di luar, menantu saya hanya duduk di rumah dan keluar semula pada pukul 7 pagi.
“Sebaik melihat kawasan sekeliling di kebun seluas tiga ekar itu, dia nampak cebisan bangkai kambing dan mengesyaki telah diserang harimau kumbang melihat kepada kesan gigitan dan cakaran pada bangkai kambing ternakan.
“Ini kejadian kedua ternakan peliharaan saya dibaham harimau kumbang. Jika sebelum habis 150 ekor ayam peliharaan juga dibaham haiwan liar ini. Kali ini, saya terpaksa menanggung lagi kerugian kira-kira RM7,000,” katanya ketika dihubungi di sini.
Kata Abdul Rahman, kejadian berkenaan telah dilaporkan kepada pihak berwajib termasuk polis dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Mendum, Hanapiah Baba berkata, pihak Jabatan Perhilitan telah mengesahkan haiwan pemangsa itu adalah harimau berdasarkan kesan tapak kaki yang ada.
“Jabatan Perhilitan dijangka akan memasang perangkap pada petang ini juga,”katanya. – UTUSAN