KOTA BHARU: Terdapat dalam kalangan peniaga membeli dan menyimpan minyak masak paket bersubsidi untuk kegunaan jualan makanan di premis mereka.
Pengarah Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Kelantan, Azman Ismail berkata, kegiatan itu dikesan hasil pemantauan dan aduan daripada orang awam.
Katanya, minyak masak paket berkenaan sepatutnya untuk keperluan kegunaan isi rumah dan bukan kepada peniaga.
“Tetapi kita dapati ada peniaga yang menyalahgunakan minyak masak paket itu untuk tujuan berniaga di samping menyimpannya.
“Kita belum lagi mengeluarkan tindakan kompaun, sebaliknya memberi peringatan dahulu. Tetapi selepas ini kita akan mengenakan tindakan kompaun mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Aidilfitri di Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di sini, hari ini.
Azman berkata, menjadi kesalahan kepada peniaga yang membeli atau menyimpan minyak masak paket di premis melebihi 10 kilogram tanpa lesen atau permit yang sah.
Katanya, peniaga sepatutnya menggunakan minyak masak botol seperti mana arahan yang dikeluarkan kerajaan. – UTUSAN