KUALA TERENGGANU: Seorang pengusaha premis pemborong mengaku salah menyorok sebanyak 2.21 tan metrik minyak masak peket bersubsidi pada tahun lalu di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.
Hakim Mohd. Zul Zakiqudin Zulkifli memerintahkan hukuman denda ke atas orang kena saman (OKS), Abu Bakar Abdul Rahman, 42, sebanyak RM15,000 setelah membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan. Beliau juga memerintahkan minyak masak peket yang dirampas itu dilucut hak kepada kerajaan.
“Tindakan OKS menyembunyikan minyak masak peket bagi menghalangnya daripada dijual telah mengganggu kitaran konsumerisme,” katanya.
Berdasarkan pertuduhan, Abu Bakar didakwa menyembunyikan 2,210 kilogram minyak masak peket di premis perniagaannya yang terletak di Kampung Rhu Muda, Marang.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu pada pukul 1.38 tengah hari, 31 Januari 2024. Mengikut fakta kes, Abu Bakar hanya menunjukkan sembilan kotak minyak masak paket yang telah rosak sewaktu premis perniagaannya diperiksa sepasukan anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Penguna (KDPN).
Begitupun, pemeriksaan lanjut anggota penguat kuasa KPDN kemudiannya menjumpai 130 kotak mengandungi 2.21 tan minyak masak peket di dalam stor penyimpanan. Minyak masak paket terbabit didapati tidak isytihar OKS bagi tujuan disorok daripada dijual sehingga menyusahkan pengguna. – UTUSAN