SEREMBAN: Seorang pengurus tapak dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas pertuduhan mencederakan seorang lelaki menggunakan parang dalam kejadian pada 14 April lalu.
Tertuduh, R. Suresh Khanna, 47 tahun tidak mengaku bersalah apabila pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datin Surita Budin.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Suresh didakwa menyebabkan kecederaan parah kepada B. Nagarajah, 40, dengan menggunakan parang di Tingkat 1, Kedai Alat Telekomunikasi 101 Gadgets – Seremban Gateway, pada jam 8.10 malam, 14 April lalu.
Perbuatan itu didakwa melanggar Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Norazihah Asmuni, memohon mahkamah agar tidak menawarkan sebarang jaminan memandangkan kes itu melibatkan kecederaan serius yang boleh mencetuskan ketakutan dalam kalangan keluarga mangsa.
Namun, peguam bela tertuduh, Thayalan Moorthy, merayu agar jaminan minimum diberikan dengan alasan anak guamnya telah memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dan menyerah diri secara sukarela.
Tertuduh yang bekerja sebagai pengurus tapak dengan pendapatan bulanan RM3,000, turut menghidap pelbagai penyakit, termasuk darah tinggi dan gout.
Mahkamah membenarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin, dengan syarat tertuduh tidak mengganggu saksi dan mangsa serta perlu melaporkan diri di balai polis setiap bulan.
Kes ini dikaitkan dengan unsur gangsterisme, di mana mangsa diserang dengan parang oleh seorang suspek, dan rakaman CCTV kejadian tular di media sosial. Tiga suspek lelaki yang terbabit dalam serangan ini berjaya ditahan polis dalam tempoh 24 jam. – UTUSAN