MUAR: Seorang pengurus syarikat kerugian RM651,800 selepas terpedaya dengan skim pelaburan tidak wujud atas talian sejak Januari lalu.
Menurut Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, pihak polis menerima laporan daripada mangsa, warga tempatan berusia 45 tahun, kira-kira pukul 3.45 petang semalam.
Katanya, pada Januari 2025, mangsa telah melihat satu paparan iklan atas nama sebuah syarikat di aplikasi Facebook mengenai pelaburan saham yang menawarkan pulangan tinggi dalam masa singkat.
Beliau berkata, Mangsa seterusnya telah menekan satu pautan yang diberikan dan telah dimasukkan ke dalam group whatsapp atas nama sebuah syarikat.
Tambahnya, sebelum itu mangsa diarah untuk memuat turun dan mendaftar akaun pelaburan melalui satu aplikasi bagi memantau hasil pelaburannya.
“Mangsa telah berhubung melalui whatsapp dengan lima suspek yang berbeza dan telah diterangkan mengenai pelaburan tersebut.
“Oleh kerana tertarik dengan pulangan yang lumayan, pada 13 Febuari sehingga 27 Mac 2025, mangsa telah melakukan 25 transaksi pembayaran ke tiga akaun bank berbeza berjumlah keseluruhan RM651,800.
“Walau bagaimanapun, mangsa telah diarahkan untuk membuat pembayaran lagi bagi menuntut jumlah keuntungannya. Mangsa berasa tertipu kerana dalam tempoh pelaburan, mangsa tidak pernah menerima sebarang keuntungan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Raiz Mukhliz, mangsa mengalami kerugian berjumlah RM651,800 di mana sumber wang adalah simpanan daripada mangsa sendiri.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara tidak lebih 10 tahun, dengan sebatan dan juga dikenakan denda. – UTUSAN