JOHOR BAHRU: Seorang pengurus sebuah syarikat ditahan reman enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes mengemukakan tuntutan palsu lebih RM110,000.
Perintah reman terhadap lelaki berusia 34 tahun tersebut dikeluarkan Majistret, Nurmadiana Mamat.
Menurut sumber, suspek ditahan di Ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor pada pukul 8 malam semalam.
Suspek didakwa mengemukakan dokumen tuntutan yang mengandungi maklumat palsu ke Jabatan Perikanan Negeri Johor berkaitan kerja membekal, menghantar dan mentauliah peralatan sokongan kepada penerima bantuan lebih RM110,000, namun tidak dilaksanakan dengan baik.
Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias mengesahkan penahanan tersebut dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009. – UTUSAN