Pengintipan korporat: Bekas pegawai Petronas didakwa

Pengintipan korporat: Bekas pegawai Petronas didakwa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang bekas pe­ngurus Petroliam Nasional Berhad (Petronas) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas pertuduhan cuba mendedahkan dokumen sulit syarikat itu kepada Syarikat Petroleum Sarawak (Petros), tahun lalu.

Tertuduh, Mohd. Khairul Akmal Mohd. Jasni, 40, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Siti Shakirah Mohtarudin.

Lelaki itu didakwa di bawah Seksyen 203A (1) Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 511 Kanun Keseksaan.

Mengikut pertuduhan, Mohd. Khai­rul ketika menjalankan tugas sebagai Pengurus Prestasi Unit Perniagaan Petronas, didakwa cuba mendedahkan maklumat dokumen Q1 2024 Upstream Business Performance Operational and Financial kepada Petros di antara pukul 3.19 hingga 3.21 petang, 8 Jun 2024 di Jalan Pinang, Dang Wangi di sini.

Lelaki itu didakwa di bawah Seksyen 203A (1) Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 511 Kanun Keseksaan.

Seksyen itu memperuntukan hukuman denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara maksimum setahun atau kedua-dua sekali.

Seksyen 511 membawa hukuman penjara tidak melebihi setengah daripada Seksyen 203A (1), jika disabitkan kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Sabri Othman mencadangkan jumlah jaminan sebanyak RM50,000 atas alasan perbuatan tertuduh itu merupakan kesalahan serius melibatkan kewangan negara.

“Kes ini mampu untuk memberikan implikasi kepada kewangan negara dan ini perlu mengira prinsip kepentingan awam dan bukan individu.

“Jumlah ini adalah munasabah. Mengambil kira maklumat sulit Petronas cuba diberikan kepada syarikat luar,” katanya.

Petronas kini sedang bekerjasama rapat dengan kerajaan Persekutuan, kerajaan Sarawak, serta Petros berhubung butiran peranan masa depan Petros sebagai agregator gas negeri bertujuan untuk memastikan hak dan kepentingan semua pihak termasuk pelanggan akhir dan pelabur dipertimbangkan dengan sewajarnya.

Mac lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, kerajaan Persekutuan akan mengadakan pertemuan dengan kerajaan Sarawak untuk memperincikan skop kerjasama antara kedua-dua syarikat berkenaan termasuk perbincangan dalam meneroka kerjasama yang akan dijalankan oleh kedua-dua syarikat melibatkan mana-mana projek baharu dalam apa jua bidang.

Petronas akan memenuhi semua obligasi berkontrak domestik dan antarabangsa manakala Petros akan bertindak sebagai agregator gas Sarawak berdasarkan peraturan negeri mengenai pengagihan gas yang berkuatkuasa pada 1 Mac. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said mengesahkan peranan Petros sebagai agregator gas negeri, namun, ia tidak termasuk gas asli cecair.

Sementara itu, peguam bela, Fadhli Sutris yang mewakili Mohd. Khairul meminta wang jaminan lebih rendah atas alasan anak guamnya tidak mempunyai risiko untuk melarikan diri dan sentiasa memberikan kerjasama semasa siasatan dijalankan.

“Anak guam baru sahaja mela­porkan diri semalam di tempat kerja barunya di Sarawak setelah dibuang kerja sejak Disember lalu.

“Pendapatanya belum stabil dan perlu menanggung isteri serta tiga anak yang masih kecil. Oleh itu, saya mohon jumlah jaminan rendah sekitar RM3,000 hingga RM5,000,” kata peguam itu.

Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 19 Mei ini untuk sebutan semula kes. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya