MELAKA: Pemilihan Melaka sebagai tuan rumah bagi empat program bertaraf antarabangsa oleh kerajaan Persekutuan merupakan pengiktirafan terhadap kestabilan dan kemajuan pesat yang dicapai negeri bersejarah ini.
Empat program berprestij itu ialah ASEAN Ministerial Meeting on Transnational Crime (AMMTC), Hari Pelancongan Sedunia dan Persidangan Pelancongan Sedunia, Sambutan Hari TVET Negara serta Pertemuan Tahunan Tidak Rasmi Menteri-menteri Agama Negara Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia dan Singapura (MABIMS).
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, pemilihan Melaka sebagai lokasi utama penganjuran program-program sedemikian membuktikan keyakinan kerajaan Persekutuan terhadap kemampuan negeri ini dalam menganjurkan acara berskala besar dan berimpak tinggi.
“Terbaharu Melaka turut mendapat pengiktirafan daripada kerajaan Persekutuan untuk menjadi tuan rumah pelancaran sambutan Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026) yang dijadualkan pada September depan.
“Pemilihan ini bukan sekadar satu penghormatan, tetapi pemangkin kepada pertumbuhan pesat industri pelancongan serta memberi limpahan manfaat kepada rakyat Melaka, ekonomi tempatan dan hasil negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2025 Peringkat Kebangsaan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini, semalam.
Tambah Ab. Rauf, kejayaan Tahun Melawat Melaka 2024 yang menyaksikan lebih 15 juta pelancong direkodkan dengan peningkatan 74.21 peratus berbanding tahun sebelumnya telah melonjakkan keyakinan terhadap potensi pelancongan negeri.
“Seiring dengan kejayaan itu, kerajaan negeri komited meneruskan inisiatif Tahun Melawat Melaka sehingga 2026, selaras dengan sasaran TMM 2026 yang menyasarkan ketibaan 35.6 juta pelancong ke negara ini.
“Sebagai kesinambungan, Melaka telah meluncurkan lebih 800 produk pelancongan baharu bagi menyokong kempen TMM 2026, sekali gus memastikan Melaka kekal sebagai negeri destinasi utama pelancong,” katanya. – UTUSAN