JOHOR BAHRU: Seorang penghantar makanan maut dirempuh sebuah kereta mewah disyaki dipandu pemandu mabuk di Jalan Kota Tinggi-Johor Bahru berhampiran sebuah stesen minyak Taman Desa Jaya, di sini, pukul 2 pagi, hari ini.
Mangsa, Mohd. Taufik Ariff Sariff, 37, maut di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah akibat kemalangan tersebut.
Isteri mangsa, Suhaidah Yusof, 40, memberitahu, ketika kejadian dia dan suaminya sedang dalam perjalanan pulang selepas keluar makan bersama rakan-rakan.
“Kami keluar makan di Desa Cemerlang, perjalanan balik saya pandu kereta sebelum ternampak ada motosikal kemalangan. Saya berhentikan kenderaan sebelum suami keluar untuk menolong.
“Waktu itu ramai orang berhenti di tepi jalan, kemudian saya terdengar bunyi dentuman kuat. Tidak lama kemudian ada orang maklumkan suami saya telah dilanggar sebuah kereta,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultan Ismail (HSI), di sini hari ini.
Tambah Suhaidah, dia dan arwah suaminya baharu mendirikan rumah tangga pada September tahun lalu.
“Memang sedih, apatah lagi kejadian ini berlaku ketika kita masih baharu berkahwin dan juga menyambut Aidilfitri. Kenangan sambut raya itu adalah pertama kali kami sebagai suami isteri.
“Apapun saya tetap reda walaupun sedih dan berasa trauma,” jelasnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd. Sohaimi Ishak berkata, pemandu kenderaan mewah tersebut telah ditahan polis dan didapati memandu di bawah pengaruh alkohol.
“Suspek ditahan reman selama empat hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 41(1) dan Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” jelasnya.
Katanya lagi, Mohd. Taufik dirempuh kenderaan tersebut ketika hendak membantu seorang penunggang motosikal warga Myanmar berusia 30-an yang maut selepas terbabas sendiri di lokasi berkenaan. – UTUSAN