PETALING JAYA: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menegaskan bahawa setiap permohonan pengeluaran dokumen pengenalan diri sama ada MyKAS, MyPR dan MyKAD adalah tertakluk sepenuhnya kepada undang-undang, peraturan dan dasar berkuat kuasa.
JPN berkata, semua permohonan akan dinilai secara menyeluruh berdasarkan peruntukan di bawah Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990.
“JPN tidak akan meluluskan permohonan secara sewenang-wenangnya, walaupun permohonan disertakan dengan surat sokongan daripada mana-mana pihak.
“Pertimbangan terhadap pandangan atau sokongan dari pihak berkepentingan boleh diambil kira, namun kelulusan tetap melalui proses tapisan dan verifikasi yang ketat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kenyataan itu menjelaskan perkara ini susulan isu penularan surat sokongan yang didakwa mengandungi minit oleh bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bertarikh 26 April 2019.
Surat berkenaan mengandungi sokongan terhadap permohonan pengeluaran dokumen pengenalan diri kepada seorang individu dari Semporna tular di Facebook.-UTUSAN