KULAI: Seorang pengarah syarikat swasta berputih mata apabila wang simpanannya sebanyak RM666,300 lesap selepas menjadi mangsa sindiket pelaburan palsu.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, mangsa lelaki tempatan berusia 61 tahun membuat laporan polis semalam selepas menyedari ditipu.
“Mangsa tertarik dengan tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan 10 peratus dalam tiga hari dan membuat 20 transaksi ke dua akaun bank berbeza dari 4 Mac hingga 17 April,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mangsa kemudiannya dimaklumkan kononnya mendapat keuntungan RM1.4 juta, namun diminta melabur tambahan RM100,000 untuk mengeluarkan wang tersebut, sebelum menyedari dia ditipu.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Polis mengingatkan orang ramai supaya berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan pelaburan yang menjanjikan keuntungan tinggi dalam masa singkat.