PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengharapkan pengalaman panjang Yang Dipertua Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Taib akan dimanfaatkan oleh rakyat terutama di Pulau Pinang.
Perdana Menteri merakamkan ucapan tahniah kepada Tun Ramli yang baru menerima Surat Cara Pelantikan hari ini.
“Tahniah saya ucapkan kepada Tun Ramli Ngah Talib di atas pelantikan ini dengan doa semoga khidmat dan pengalaman panjang Tun dihargai serta dimanfaatkan rakyat terutamanya rakyat Pulau Pinang,” katanya menerusi hantaran di media sosial, hari ini.
Terdahulu, Tun Ramli yang merupakan bekas Menteri Besar Perak dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang kesembilan berkuat kuasa 1 Mei ini.
Beliau menerima surat cara pelantikan itu daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dalam Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang di Singgahsana Kecil, Istana Negara di sini hari ini.
Pada istiadat sama, beliau turut dikurniakan Darjah Kebesaran Seri Maharaja Mangku Negara (SMN) yang membawa gelaran Tun.
Ramli dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang mengikut Perkara 1 Perlembagaan Negeri Pulau Pinang bagi tempoh empat tahun bermula 1 Mei 2025 hingga 30 April 2029.
Pelantikan Ramli bagi menggantikan Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak yang menyandang jawatan itu bermula 1 Mei 2021. – UTUSAN