JERANTUT: Situasi jarang dapat dilihat iaitu 40 ekor kawanan gajah menyeberang Sungai Tembeling berdekatan Kampung Kuala Sat, Ulu Tembeling di sini, baru-baru ini menjadi momen istimewa buat pelancong yang menaiki bot penambang dari Kuala Tahan.
Pemandu bot pelancong, Ahmad Dahlan, 45, berkata, dia dan pelancong asing yang menaiki bot penambang pada awalnya terkejut melihat badan haiwan itu terapung manakala belalainya diangkat ke atas.
“Pemandu beberapa buah bot penambang menunda perjalanan dalam jarak yang agak jauh dan pelancong teruja melihat kemahiran haiwan itu berenang dalam arus sungai deras serta dalam.
“Kira-kira 20 minit, kawanan haiwan liar merapati tebing di seberang sungai dan kemudiannya memanjat tebing sebelum masuk ke dalam hutan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, pelancong Belanda mahu dikenali sebagai Lilian berkata, dia terkejut ketika melihat daripada jauh seolah-olah kayu balak reput hanyut namun lama-kelamaan kelihatan banyak gajah menyeberang arus sungai tersebut.
“Senario ini berlaku kerana haiwan ini menyeberang dari hutan berdekatan untuk mencari makanan dan kadangkala masuk kawasan petempatan untuk mendapatkan sumber makanan yang sama.
“Pengalaman itu jarang diperoleh dan berpeluang merakam gambar untuk dijadikan kenangan apabila pulang nanti,” katanya. – UTUSAN