SUBANG JAYA: “Rasa bahang dan ramai mula lari tinggalkan rumah.”
Itu situasi dikongsikan penduduk berhampiran lokasi kebakaran saluran gas di Jalan Putra Harmoni Putra Height, di sini hari ini.
Pengerusi Kuil Sri Maha Maliamman, A. Arwin berkata, dia melihat api marak selepas mendengar bunyi letupan serta bahang panas akibat kebakaran itu.
Katanya, kejadian dipercayai berlaku pada 8 pagi sebelum mendengar bunyi siren bomba tiba manakala penduduk berhampiran mula keluar tinggalkan rumah untuk dapatkan perlindungan.
“Beberapa mangsa dalam insiden itu telah menerima rawatan awal di sini (kuil), kumpulan awal mangsa dalam kira-kira 35 orang.
“Saya dan saudara bantu belikan air dan kami bantu tidak kira berapa orang pun,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Katanya, ada antara mangsa yang mengalami melecur di bahagian belakang dan suasana ketika itu agak kelam kabut.
Turut berkongsi situasi yang sama, ahli perniagaan, Datuk K l. Ramachandran yang berkata, dia menyedari kejadian terbabit ketika berada di rumahnya yang terletak dua kilometer (KM) dari lokasi kejadian.
“Saya lihat api marak dan ada rasa bahang panas, nampak banyak kereta penduduk di lokasi berhampiran bergegas keluar.
“Semua mereka panik, ada yang tinggalkan kucing dan anjing peliharaan. Ada yang berada di kuil untuk rawatan,” ujarnya.
Turut tular gambar beberapa penduduk setempat yang kepanasan akibat bahang daripada letupan gas yang berlaku meluru ke sungai berhampiran.
Terdahulu, media melaporkan seramai 112 mangsa terkesan membabitkan 49 kediaman di lokasi berhampiran susulan kejadian kebakaran membabitkan saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Height di sini hari ini.
Nor Hisham dilaporkan berkata, pemeriksan dilakukan mendapati mangsa yang terlibat adalah daripada 37 kediaman di Jalan Putra Harmoni dan 12 lagi membabitkan premis di Kampung Kuala Baru.
“Kebanyakan mangsa cedera iaitu luka di bahagian kaki dan sesak nafas. Ada mangsa yang dibawa ke Hospital Putrajaya, Hospital Cyberjaya dan Hospital Serdang untuk rawatan lanjut,” katanya.- UTUSAN