MELAKA: Penduduk Melayu di Katanning sebuah bandar yang terletak 277 kilometer (km) dari tenggara Perth, Australia Barat memerlukan seorang guru agama bertauliah untuk mengajar ilmu agama kepada anak-anak mereka.
Presiden Persatuan Islam Katanning Australia Barat, Alep Mydie berkata, keperluan seorang guru agama bertauliah amat penting bukan sahaja untuk anak-anak tetapi juga bagi membimbing kira-kira 400 penduduk berbangsa Melayu yang menetap di situ.
Beliau yang juga imam masjid di situ memberitahu, penduduk masih utuh mengamalkan solat lima waktu, berpuasa dan sebagainya, namun amat penting kefahaman sesuatu perkara yang lebih mendalam diajar kepada seluruh masyarakat Melayu di Katanning.
“Kami adalah orang Melayu yang masih kekal mengamalkan ajaran Islam, walaupun kami kumpulan minoriti di Katanning, tetapi kami tiada halangan menjalankan ibadah seperti solat lima waktu dan berpuasa.
“Jika kita mendapat seorang guru agama yang bertauliah insya-Allah syiar Islam dapat diperkukuhkan, walaupun kami hanya mempunyai 400 penduduk di sini.
“Kami ini adalah bangsa Melayu yang berasal dari Kepulauan Cocos (Keeling) dan kemudiannya berhijrah beramai-ramai di bandar Katanning,” katanya ketika ditemui selepas Forum Melayu Islam Katanning Australia Barat anjuran Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) di Bilik Mesyuarat DMDI Kota Cemerlang di sini, semalam.
Majlis berkenaan turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Melaka yang juga Presiden DMDI, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam dan Ketua Umum DMDI Indonesia, Datuk Said Aldi Al Idrus.
Tambah Alep, beliau bersama beberapa penduduk mula berhijrah dari Pulau Cocos ke Pulau Krismas sebelum ke Katanning pada 1974 kerana bekerja di sebuah kilang, lantas menetap terus di sana.
Menurutnya, kebanyakan penduduk bekerja di kilang pemprosesan kambing secara halal yang telah mendapat pengiktirafan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
“Kami semua adalah warganegara Australia sejak dari Kepulauan Cocos, namun kami tidak tahu asal usul sebenar kerana tidak ada catatan tetapi kemungkinan dari Kepulauan Jawa,” ujarnya.
Tegasnya, walaupun mereka hanyalah kumpulan minoriti di Katanning tetapi tidak pernah dipinggirkan oleh Kerajaan Australia, selain mempunyai sebuah masjid dan mendiami rumah yang cukup selesa serta bantuan-bantuan lain. – UTUSAN