Penduduk mahu ekonomi, pertanian Ayer Kuning diperkasa

Penduduk mahu ekonomi, pertanian Ayer Kuning diperkasa

PENGUNDI berharap wakil rakyat baharu yang dipilih dalam PRK ini nanti dapat membawa perubahan kepada sektor ekonomi DUN Ayer Kuning.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAPAH: Penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning berharap pilihan raya kecil (PRK) mampu membawa perubahan terutama dalam aspek ekonomi dan sosial mereka dengan harapan wakil rakyat yang terpilih memperkasakan sektor pertanian di kawasan itu.

Mereka percaya calon yang menang mempunyai perancangan dan kemampuan untuk membawa perubahan dan memajukan kawasan Ayer Kuning agar tidak ketinggalan dalam aspek pembangunan dan ekonomi.

Pesara kerajaan, Mohd. Sabri Razali, 64, berkata, majoriti penduduk terlibat dalam sektor pertanian terutamanya ladang kelapa sawit.

“Kebanyakannya mewarisi secara turun temurun tanaman ini selain perlu berkongsi dengan ahli keluarga yang lain.

“Dahulu, ada bantuan input pertanian seperti baja dan racun pembasmi perosak tanaman tetapi telah dihentikan sementara. Untuk itu kami berharap bantuan input pertanian itu dapat dikembalikan semula.

“Kami berharap wakil rakyat baharu yang dipilih dalam PRK ini nanti dapat membawa perubahan kepada sektor ekonomi penduduk di sini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Kampung Kenangan di sini, semalam.

Dalam pada itu, Maizal Affendey Jalaludin, 58, pula mahu diwujudkan sebuah pusat latihan belia berdekatan kawasan Kampung Kenangan bagi memudahkan golongan belia mendapatkan ilmu kemahiran terutamanya program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Ini meningkatkan kemahiran mereka selain boleh menjana pendapatan dengan sebaiknya untuk masa depan.

“Sekarang semua berkata mengenai TVET. Saya berharap orang muda di kampung ini tidak ketinggalan mendapat pendidikan kemahiran,” katanya.

Fazrin Mohd. Zahari, 39, dari Kampung Jawa pula berkata, ketiga-tiga calon yang bertanding mempunyai kelebihan masing-masing dan percaya mereka mempunyai perancangan untuk memajukan Ayer Kuning.

FAZRIN MOHD. ZAHARI

“Kami harap calon yang menang buatlah yang terbaik untuk penduduk di sini terutama isu kos sara hidup yang meningkat. Kami mahu wakil rakyat baharu nanti fokus kepada usaha meningkatkan ekonomi setempat,” katanya.

P. Theruvamgadam, 59, dari Tapah Road turut mengakui, calon daripada parti kerajaan dan pembangkang yang bertanding mempunyai kelebihan masing-masing dan diharap memberikan khidmat yang terbaik kepada masyarakat Ayer Kuning.

P. THERUVAMGADAM

“Apabila memang nanti, wakil rakyat baharu perlu sentiasa mengambil berat masalah rakyat kerana mereka sudah dipilih dan diberikan kepercayaan untuk menjadi pemimpin,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya