SUNGAI BULOH: Penduduk kecewa apabila kerja-kerja pembaikan benteng takungan yang pecah hujung Disember lalu terbengkalai sejak awal tahun ini dan hanya disambung semula hari ini selepas insiden sama berulang.
Penduduk Taman Seri Alam, di sini meluahkan rasa kesal apabila usaha membaik pulih struktur benteng yang rosak tidak diteruskan secara konsisten, sekali gus menyebabkan air kembali melimpah masuk ke kediaman mereka awal pagi tadi.
Muhamad Ahmal Abdul Ghani, 39, berkata, dia kecewa kerana barangan rumah yang diganti minggu lepas selepas kejadian hujung tahun lalu kembali rosak apabila air naik semula akibat benteng pecah.
“Paling mengecewakan, kerja terakhir dibuat pada Januari. Selepas itu, senyap saja dan baru hari ini nampak jentolak datang sambung balik kerja.
“Malangnya, hanya selepas rumah kami dimasuki air semula,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.
Tambahnya, dia tersedar sekitar pukul 6 pagi dan terkejut apabila mendapati air sudah naik ke dalam ruang tamu rumah sehingga paras satu kaki.
“Kasut kami semua hanyut dan kesan dari hentaman air yang deras itu menyebabkan pagar rumah saya rosak,” katanya.
Terdahulu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor memaklumkan benteng kolam takungan air di taman berkenaan pecah lagi awal pagi tadi susulan hujan lebat di kawasan berkenaan dan menjejaskan 35 buah rumah berhampiran.
la merupakan kali ketiga benteng berkenaan pecah selepas kejadian pertama pada 2014 dan pada 29 Disember tahum llepas kejadian sama berlaku menyebabkan 200 buah rumah di taman berkenaan terjejas.
Sementara itu, Surain Husain, 33, turut kesal dengan kelewatan pihak berwajib menyambung semula projek tersebut walaupun sudah beberapa kali diminta penduduk untuk dipercepatkan.
“Hujan mula turun sekitar pukul 3 pagi ketika kami sedang nyenyak tidur, tiba-tiba pukul 6 pagi jiran ketuk pagar rumah beritahu benteng takungan pecah . Saya keluar tengok air sudah penuh di pekarangan rumah,” katanya.
Menurutnya, air mula surut sekitar pukul 7.30 pagi namun kegusaran tetap membelenggu penduduk yang tinggal berhampiran takungan.
“Setiap kali hujan, kami hidup dalam kebimbangan. Tak tahu bila benteng ini akan betul-betul siap. Kami tak mampu hadapi kerosakan kali ketiga,” ujarnya. – UTUSAN