GUA MUSANG: Lebih 3,000 penduduk di lapan buah kampung di sekitar mukim Jerek di sini, bimbang tertimbus selepas jalan lencongan berhampiran Kilometer 35, Jalan Gua Musang-Jeli yang dibina untuk kegunaan sementara merekah, sejak Jumaat lalu.
Rekahan baharu dan lubang itu berlaku dipercayai akibat cuaca hujan serta beban kenderaan berat yang melalui jalan berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani berkata, pengguna kenderaan terutama lori dan bas yang melalui jalan tersebut perlu berhati-hati kerana terdapat rekahan tanah serta lubang.
“Kita risau keselamatan pengguna jalan raya. Jaga keselamatan diri dan lebih bersikap bertolak ansur ketika melalui jalan yang semakin sempit ini,” katanya selepas meninjau jalan berkenaan, semalam.
Mohd. Azmawi Fikri berkata, pihak konsesi akan memulakan kerja membaik pulih cerun runtuh dan pembinaan jalan baharu di Kilometer 35, Jalan Gua Musang-Jeli pada minggu depan.
Katanya, projek pembinaan jalan baharu itu dijangka dapat memberi kemudahan perhubungan kepada penduduk setempat dan pengguna jalan untuk berulang-alik.
“Laluan ini menjadi sangat sibuk apabila tibanya musim cuti dan perayaan. Sejak lebih dua bulan lalu penduduk tempatan dan pengguna jalan raya menggunakan laluan sementara yang strukturnya diperbuat daripada batu dan kayu balak.
“Saya harap pembinaan dan proses membaiki jalan ini dapat disegerakan untuk keselesaan dan keselamatan pengguna Jalan Gua Musang-Jeli,” ujarnya.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Kilometer 35, Jalan Gua Musang-Jeli yang menjadi laluan utama kepada lebih 3,000 penduduk di lapan buah kampung sekitar mukim Jerek runtuh akibat mendapan tanah pada 29 November lalu.
Laluan tersebut kemudian ditutup kepada semua laluan kenderaan sebelum lencongan sementara sedang dibina bagi memberi kemudahan perhubungan kepada penduduk di lapan buah kampung melakukan urusan harian. – UTUSAN