Pendidikan pemacu masa depan ASEAN - Fadhlina

Pendidikan pemacu masa depan ASEAN – Fadhlina

FADHLINA Sidek (depan, tengah) ketika menghadiri Sidang Kemuncak Pemerkasaan Pendidikan 2025 di George Town, Pulau Pinang hari ini.-UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Pendidikan mesti menjadi pemacu utama untuk masa depan ASEAN yang lebih berdaya tahan, makmur dan bersatu.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, sistem pendidikan di rantau ASEAN ketika ini perlu ditransformasi secara berani, selari dengan perubahan pesat dunia serta kemunculan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI).

“Pendidikan adalah strategi terbaik ASEAN untuk daya tahan, kemakmuran dan perpaduan. Ia juga tanggungjawab terbesar kita.

“Dalam hal ini, Malaysia komited untuk menerajui usaha serantau dalam bidang ini. Kami bersedia berkongsi, belajar dan bekerjasama dengan jiran-jiran ASEAN untuk membentuk masa depan yang pintar, inklusif dan lestari,” katanya pada Sidang Kemuncak Pemerkasaan Pendidikan 2025 di sini, hari ini.

Sidang kemuncak yang turut dihadiri oleh Ketua Menteri, Chow Kon Yeow itu menghimpunkan pemimpin dasar, pendidik dan pemain industri untuk membincangkan masa depan pendidikan yang lebih inklusif, inovatif dan mampan.

Menurut Fadhlina, Malaysia memilih pendekatan transformasi berani menerusi pelbagai inisiatif, antaranya pembaharuan kurikulum, latihan guru secara besar-besaran dalam pedagogi digital dan kerjasama erat antara sektor pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET) serta industri.

“Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) kini menekankan kemahiran digital, penyelesaian masalah dan nilai. Lebih 100,000 guru juga sedang dilatih semula dalam pedagogi abad ke-21.

“Selain itu, kerjasama TVET dengan sektor seperti elektrik dan elektronik (E&E) turut diperkukuh, termasuk pembangunan laluan latihan modular bersama politeknik dan kolej vokasional,” katanya yang memberitahu, Malaysia juga berada di hadapan dalam memanfaatkan AI dan teknologi dalam bidang pendidikan.

Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, melalui projek perintis sebagai contoh, platform pembelajaran AI diguna untuk mempersonalisasi pembelajaran serta mengenal pasti pelajar yang berisiko untuk tercicir.

“Namun, dalam hal ini, isu jurang digital masih menjadi cabaran utama. Justeru, usaha sedang dijalankan untuk menyediakan bilik darjah hibrid berkuasa solar dan internet satelit di 180 sekolah luar bandar di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Dalam pada itu, Fadhlina turut mengemukakan lima saranan kerjasama strategik antara negara anggota ASEAN termasuk mewujudkan pasukan petugas masa depan pendidikan ASEAN, pasport kemahiran digital ASEAN dan makmal inovasi di sekolah.

“Mari kita bina bukan sekadar tenaga kerja tetapi satu generasi warganegara ASEAN yang berkemahiran, penyayang dan komited untuk membina rantau yang lebih baik untuk semua,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya