KOTA BHARU: Pendedahan polis berhubung jenayah sumbang mahram dan rogol mendorong dua kanak-kanak masing-masing berusia 13 tahun dan 14 tahun tampil membuat laporan selepas ‘dinodai’ bapa kandung serta bapa saudara dalam kejadian berasingan di Tanah Merah dan Kuala Krai, dekat sini.
Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, kedua-dua mangsa itu tampil sendiri ke balai berdekatan untuk membuat laporan selepas terkesan dengan pendedahan dibuat oleh pasukan berkenaan kepada media sebelum ini.
“Bagi kes di Tanah Merah, mangsa dirogol oleh bapa kandung dan dua bapa saudaranya sendiri sejak tahun lalu.
“Untuk kes Kuala Krai pula, mangsa dirogol oleh bapanya sejak tahun lepas,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Konsortium E-Mutiara-Semesra Syawal, di sini hari ini.
Mohd. Yusoff berkata, semua suspek yang terlibat telah ditahan bagi membantu siasatan sejurus selepas laporan itu dibuat.
Katanya, ketika ini polis sedang menunggu laporan dan pemeriksaan daripada doktor untuk tindakan lanjut yang mana kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.
“Kami mengalu-alukan mangsa untuk hadir dan membuat laporan sendiri di balai polis. Walaupun bawah umur dan datang sendirian, kami terima dan buka siasatan terhadap kes tersebut,” ujarnya.
Terdahulu, Polis Kelantan mendedahkan kanak-kanak perempuan di Kelantan dikesan terlibat dengan sumbang mahram seawal usia 10 tahun berpandukan kepada laporan yang diterima.
Ketua Polis negeri Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, lebih membimbangkan kanak-kanak itu melakukan hubungan intim tersebut dengan sepupunya sendiri yang berusia 11 tahun. – UTUSAN