ALOR SETAR: Pendang masih menjadi daerah tertinggi mencatatkan kes penyalahgunaan dadah di seluruh negara iaitu 1,798 orang bagi setiap 100,000 penduduk.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, angka itu menyaksikan peningkatan daripada 1,333 kes penyalahgunaan dadah bagi setiap 100,000 penduduk yang dilaporkan pada tahun lalu.
“Selepas Pendang, empat daerah di Kelantan iaitu Kuala Krai (1,442); Bachok (1,315), Tanah Merah (1,275) dan Pasir Putih (1,265) mencatatkan kes penyalahgunaan dadah tertinggi di negara ini.
“Sementara Kelantan mencatatkan kes penyalahgunaan dadah tertinggi di Malaysia membabitkan 1,130 kes dalam setiap 100,000 penduduknya. Diikuti Terengganu 914 kes, Perlis (965) dan Kedah (898) bagi jumlah penduduk sama yang menyumbang kepada 192,857 kes penyalahgunaan dadah di seluruh negara,“ katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Ayob Khan berkata, melalui kajian dilakukan, sebanyak 47 peratus terlibat penyalahgunaan dadah kerana pengaruh rakan sebaya manakala 18 peratus lagi disebabkan sekadar ingin mencuba.
Tambahnya, polis akan memohon peruntukan tambahan sebanyak RM80 juta daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi meningkatkan keupayaan dalam mengesan dadah sintetik termasuk jenis methamphetamine dan fentanyl.
Menurut beliau, perolehan peralatan khas amat penting bagi membantu pihaknya menangani ancaman dadah berasaskan bahan itu di negara ini.
Dalam pada itu, Ayob Khan berkata, sebahagian tokan dadah dipercayai melarikan diri ke negara jiran susulan serbuan Op Kenari 1.0 oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman di Kedah dari 9 April hingga semalam.
Beliau berkata, ramai yang sudah melarikan di negara sempadan namun pihaknya akan meneruskan momentum untuk memburu semua suspek terlibat.
“Matlamat utama kita adalah membanteras tokan-tokan dadah iaitu untuk melumpuhkan aktiviti pembekalan dan pengedaran dadah di negeri-negeri yang kita klasifikasikan sebagai yang paling tinggi (penagih).
“Operasi ini ini memberikan impak yang besar, untuk memberi satu kegerunan kepada sindiket pengedaran dadah dan tokan-tokan. Dua sindiket pengedaran dadah berjaya ditumpaskan iaitu sindiket 18 dan 04 serta membongkar satu makmal memproses dadah,” katanya. – UTUSAN