PETALING JAYA: Isu kekurangan doktor pakar di hospital atau klinik kerajaan turut disumbangkan oleh penurunan pendaftaran doktor dan doktor pelatih saban tahun, selain trend pemberhentian doktor pelatih.
Berdasarkan laporan tahunan Majlis Perubatan Malaysia (MPM), jumlah pendaftaran penuh yang diberikan kepada pengamal perubatan semakin berkurang iaitu seramai 5,607 pada 2021, 4,749 (2022) dan 4,316 (2023).
Pada masa sama, bilangan pengamal perubatan siswazah (PPS) yang diberikan pendaftaran sementara mengikut status kelayakan institusi, membabitkan institusi pengajian tinggi awam (IPTA), institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) atau institusi pengajian perubatan luar negara juga menurun.
Menurut laporan itu, PPS yang diberikan pendaftaran sementara dari IPTA pada 2021 adalah seramai 1,428, namun menurun kepada 1,357 (2022) dan 1,352 (2023) manakala dari IPTS pula 1,626 (2021), 1,810 (2022) dan 1,407 (2023).
Lebih kritikal ialah PPS institusi pengajian perubatan luar negara yang merekodkan 813 pelajar pada 2021, 690 (2022) dan 488 (2023).
Jurucakap Hartal Doktor Kontrak (HDK) berkata, keadaan itu diburukkan lagi apabila berlaku peningkatan pemberhentian doktor pelatih sejak akhir-akhir ini, walaupun ia bukanlah punca utama yang menyumbang kepada isu kekurangan doktor pakar.
Sebaliknya, beliau berkata, isu kekurangan doktor pakar di sektor awam sudah lama berlaku kerana kebanyakan mereka berhijrah menyertai sektor swasta.
“Trend ramai doktor pelatih berhenti baharu berlaku dalam beberapa tahun ini tetapi isu kekurangan doktor pakar sudah bertahun-tahun terjadi. Tetapi tidak dinafikan, impaknya (doktor pelatih berhenti) akan dilihat dalam beberapa tahun mendatang,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad memaklumkan bahawa Kementerian Kesihatan (KKM) akan menempatkan pakar perubatan kecemasan di 10 hospital tidak berpakar menjelang Ogos ini.
Bagaimanapun, Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPPKAM), Prof. Dr. Jamaluddin Ab. Rahman berkata, sektor kesihatan awam kini tidak mempunyai pegawai perubatan mencukupi kerana banyak doktor pelatih yang berhenti.
Tambah jurucakap itu, banyak faktor menyumbang kepada isu kekurangan doktor pakar di sektor awam, namun punca utamanya adalah kerana kebanyakan mereka menyertai sektor swasta.
Katanya, antara daya penarik di sektor swasta adalah gaji yang lumayan dan adanya keseimbangan kehidupan sambil bekerja.
“Puncanya adalah disebabkan beban kerja yang meningkat di sektor awam. Mereka terpaksa berhadapan dengan terlalu banyak kerja bukan klinikal seperti mesyuarat, kertas kerja dan sebagainya sedangkan pada masa sama perlu melaksanakan tugas hakiki.
“Selain itu, ada juga yang beranggapan elaun diterima mereka di sektor awam tidak setimpal dengan beban dan tanggungjawab diberikan menyebabkan mereka memilih untuk berhijrah,” katanya. – UTUSAN