KUALA LUMPUR: Pencapaian Maktab Sains Rendah Mara (MRSM) di dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 amat membanggakan apabila gred purata (GP) meningkat kepada 1.892 berbanding 2.392 pada tahun sebelumnya.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, terdapat 7,650 calon SPM daripada semua 55 MRSM di seluruh negara.
“Tahun ini sebanyak 10 MRSM telah mencatatkan prestasi cemerlang dengan GP di bawah 1.50 berbanding hanya sebuah MRSM pada tahun lalu.
“Manakala, 31 MRSM mencatatkan pencapaian luar biasa dengan GP di bawah 2.00 berbanding hanya sembilan MRSM sahaja pada tahun lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Selain itu, Ahmad Zahid yang merupakan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, seramai 1,670 daripada 7,650 pelajar MRSM atau 21.83 peratus memperoleh gred semua A (A+ ,A dan A-).
“Jumlah ini menunjukkan peningkatan berbanding 1,131 pelajar pada SPM 2023.
“Pada tahun lalu, seramai 50 calon MRSM memperoleh keputusan semua A+ iaitu 10A+ dan 9A+ dalam semua subjek yang diambil, tahun ini pencapaian tersebut telah meningkat kepada 69 orang iaitu lapan calon memperoleh 10A+ dan 61 calon memperoleh 9A+,” katanya. – UTUSAN