ALOR SETAR: Kedah mencatatkan peningkatan pencapaian calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 secara keseluruhan termasuk daripada indeks Gred Purata Negeri (GPN), 4.64 berbanding 4.77 mata tahun lepas.
Pengarah Pendidikan Kedah, Ismail Othman berkata, peningkatan turut berlaku bagi bilangan calon yang memperoleh keputusan cemerlang semua mata pelajaran yang meningkat daripada 568 orang kepada 663 calon.
“Seramai 23,256 calon iaitu 93.98 peratus layak diberi sijil pada tahun ini berbanding 23,016 tahun lepas. Bilangan calon yang memperoleh kepujian atau gred C dalam semua pelajaran dan calon yang lulus atau gred E juga meningkat tahun ini masing-masing sebanyak 458 dan 670 calon.
“Peningkatan pencapaian calon ini adalah daripada keberkesanan usaha berterusan kementerian, jabatan, pejabat pendidikan daerah dan sekolah,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut beliau, sebanyak 28,933 calon menduduki SPM 2024 berbanding 29,041 calon pada tahun lepas di 264 pusat peperiksaan yang melibatkan 182 kertas peperiksaan yang bermula 2 Disember sehingga 6 Februari lepas.
“Daripada keseluruhan calon berdaftar itu sebanyak 27,813 merupakan calon baharu yang mendaftar sekurang-kurangnya enam mata pelajaran. Seramai 385 calon tidak hadir peperiksaan berbanding 766 calon pada 2023.
“Angka ini menunjukkan penurunan sebanyak 381 calon atau 1.5 peratus. Penurunan ini juga menunjukkan keberkesanan pelbagai inisiatif dan intervensi yang dilaksanakan termasuk melaksanakan langkah awal mengenal pasti permasalahan pelajar terlibat,” katanya.
Jelasnya, berdasarkan maklumat awal hilang minat untuk belajar dan masalah keluarga menjadi antara faktor calon terlibat tidak menduduki peperiksaan tersebut.
“Hilang minat apabila ada calon yang sudah bekerja dan tidak dapat fokus kepada pembelajaran lagi. Pihak sekolah dan guru-guru mengenalpasti permasalahan ini dan berusaha menyelesaikannya,” katanya. – UTUSAN