PETALING JAYA: Pempengaruh politik yang mencetuskan kontroversi berhubung lagu Perak yang dinyanyikan oleh murid-murid sekolah di negeri tersebut dianggap mempunyai penyakit ‘bebalisme’.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, penyakit ‘bebalisme’ yang ditunjukkan oleh individu berkenaan dianggap oleh beliau sebagai sangat memalukan.
Beliau turut menyenaraikan lima sebab mengapa individu tersebut mempunyai penyakit ‘bebalisme’.
“Pertama, memfitnah. Kedua, tidak tahu membezakan lagu Negaraku dan lagu Perak. Ketiga, tidak punya rasa malu menyebarkan fitnah.
“Keempat, langsung tidak bertanggungjawab dengan fitnah dan kebebalan yang disebarkan. Kelima, langsung jahil tentang sejarah lagu negeri,” katanya menerusi hantaran di Facebook, semalam.
Terdahulu, tular rakaman video berdurasi tiga minit 40 saat yang memaparkan nyanyian lagu sekumpulan kanak-kanak di sebuah sekolah di sini yang menyanyikan lagu kebesaran negeri Perak diikuti komen seorang pempengaruh politik yang mencetuskan kontroversi.
Pempengaruh berkenaan mendakwa lagu kebangsaan negara itu telah dinyanyikan dalam bahasa Cina sekali gus dikatakan melanggar protokol lagu kebangsaan
Susulan itu, pihak polis menerima tiga laporan berhubung penularan video mengelirukan masyarakat itu.
Fadhlina sementara itu berkata, masyarakat harus mengangkat darjat dan martabat negara dengan kekuatan ilmu, bukan melalui penyakit tersebut.
“Kita harus angkat harakat insan dengan menjadi suri teladan bukan pempengaruh yang menunggang isu politik seperti ini. Apa yang dipaparkan adalah kejahilan akibat tiada pedoman dan hilang pertimbangan iman akibat lajak memfitnah.
“Jika ada parti politik yang masih menggunakan dan menaja beliau untuk memfitnah dan melakukan kerosakan dalam masyarakat, maka rosaklah muka bumi ini dengan kerosakan yang ditaja.
“Kita harus segera mengambil tanggungjawab mengepung anak-anak kita dengan menolak pempengaruh yang sumbang dan jelik,” jelasnya. – UTUSAN