CYBERJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) membuka empat kertas siasatan terhadap dua individu yang didapati memuat naik kandungan palsu dan jelik melampau berunsur perkauman, agama dan Institusi Diraja (3R) di platform Facebook dan TikTok.
MCMC berkata, sesi rakaman percakapan terhadap mereka dijalankan hari ini di Ibu Pejabat MCMC di sini bagi membantu siasatan lanjut.
“Salah seorang daripada dua individu tersebut merupakan pempengaruh dan aktivis politik yang menimbulkan sentimen perkauman di media sosial melibatkan lagu kebesaran Negeri Perak.
“Ia turut melibatkan penguasaan ekonomi orang Melayu menerusi pemecahan monopoli Petronas dan Gas Malaysia Berhad serta tentang pengambilalihan Menara Kuala Lumpur,” katanya hari ini.
Kes disiasat di bawah Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
“Sebanyak satu unit telefon bimbit dan satu kad sim milik seorang suspek telah disita bagi tujuan analisis forensik.
“Manakala bagi seorang lagi suspek, telefon bimbitnya telah disita oleh polis bagi siasatan atas kesalahan yang berlainan,” jelasnya.
Orang ramai dinasihatkan untuk menggunakan platform media sosial dengan penuh tanggungjawab serta berhemah dan tidak sewenang-wenangnya memuat naik sebarang kandungan berunsur 3R yang boleh mengancam keharmonian kaum dan agama di negara ini. – UTUSAN