Pempengaruh dakwa lagu Negaraku dalam bahasa Cina ditahan polis - Utusan Malaysia

Pempengaruh dakwa lagu Negaraku dalam bahasa Cina ditahan polis

FAHMI Fadzil ditemui pemberita ketika melawat Pejabat Penerangan Batang Padang di Tapah hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAPAH: Pempengaruh yang mencetuskan kontroversi seolah-olah lagu kebangsaan dinyanyikan dalam bahasa Cina oleh murid-murid sebuah sekolah telah ditahan oleh pihak polis.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, tindakan pempengaruh itu sebelum ini telah ditegur dan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) seterusnya menjalankan siasatan.

“Saya dimaklumkan pempengaruh itu telah ditahan untuk siasatan lanjut oleh pihak polis,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Pejabat Penerangan Batang Padang di sini hari ini.

Terdahulu dilaporkan oleh media bahawa polis Perak telah menahan pempengaruh tersebut berhubung dakwaannya bahawa pelajar sebuah sekolah Cina di Perak menyanyikan lagu kebangsaan Negaraku dalam bahasa Cina.

Peguamnya, Zaid Malek dilaporkan berkata, pempengaruh tersebut ditahan sekitar jam 12 tengah hari di Petaling Jaya, Selangor dan penahanan dibuat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

Sementara itu, Fahmi mengulangi peringatan bahawa penguatkuasaan pindaan Akta 588 yang bermula pada 11 Februari lalu yang mana pelanggaran seperti hantaran atau kandungan bersifat jelik melampau, fitnah, berita palsu dan menyentuh aspek buli siber boleh dikenakan denda jika disabitkan di mahkamah sehingga RM500,000 atau dikompaun RM250,000.

“Kita harap ia menjadi peringatan kepada semua untuk sentiasa berhati-hati dan jangan sebar berita yang kita tak pasti. Tak pasti jangan kongsi. Semak dulu dan buat pengesahan dengan media arus perdana.

“Kalau media tidak melaporkan, belum tentu perkara itu betul. Saya minta supaya semua sentiasa berhati-hati. Jangan terlalu mudah percaya maklumat yang diterima dalam aplikasi media sosial,” katanya ketika ditanya tentang menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya