PETALING JAYA: Bukan lagi rahsia, penyanyi, Ziana Zain, Anuar Zain, Ernie Zakri dan Syamel bakal menghiburkan peminat dalam sebuah konsert pada 18 Oktober ini.
Difahamkan, konsert Empat Live in Kuala Lumpur yang menggabungkan dua generasi keluarga itu akan diadakan di ruang acara ikonik, Mega Star Arena Kuala Lumpur.
Berita gembira itu telah dikongsikan oleh keempat-empat penyanyi bersuara lunak itu dalam sebuah hantaran di Instagram sekali gus mengumumkan Anuar Zain Network selaku penganjurnya.
“Anda sudah bersedia? Kami akan bergabung hanya untuk satu malam sahaja. Tanda kalendar anda. EMPAT Live in Kuala Lumpur 2025,” katanya.
Meskipun belum mengumumkan tarikh penjualan tiket, rata-rata peminat meluahkan rasa teruja selain tidak sabar untuk menyaksikan persembahan istimewa daripada empat beranak itu.
“Harap menang battle tiket,” komen seorang peminat mereka.
“Ambillah duit saya sekarang,” kata seorang pengguna media sosial.
“Sepatutnya buat dekat Axiata Arena. Empat figura besar kot,” kata seorang netizen.
Umum tahu, Ziana Zain dan Anuar Zain merupakan ibu dan bapa saudara kepada Ernie Zakri.
Sebelum ini, mereka berempat kerap memuat naik video ‘teaser’ bersama seolah memberi gambaran bahawa mereka bakal mengadakan konsert mega bersama.