Pemilihan semula Ketua Cabang PKR Jempol diadakan minggu ini

Pemilihan semula Ketua Cabang PKR Jempol diadakan minggu ini

AMINUDDIN Harun ditemui pemberita selepas Istiadat Pembukaan Persidangan Pertama Penggal Ketiga Dun Negeri Sembilan Ke-15 di Seremban hari ini.- UTUSAN/NUR SHARIEZA ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Pemilihan semula bagi jawatan Ketua Cabang PKR Jempol akan diadakan pada minggu ini selepas keputusan terdahulu yang menyaksikan kemenangan Azizah Salim Shah mendapat bantahan dan dibatalkan.

Pemilihan semula ini dibuat berikutan pendedahan bahawa Azizah masih merupakan ahli parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) semasa bertanding, sekali gus melanggar syarat keanggotaan dalam PKR.

Naib Presiden PKR, Datuk Seri Aminuddin Harun, mengesahkan perkara tersebut dan memaklumkan walaupun Azizah kemudiannya meletakkan jawatan dalam Pejuang selepas menang, tindakan itu tidak mengubah status pelanggaran yang telah berlaku.

“Ini yang saya dapat maklumat semalam. Jadi MPP (Majlis Pimpinan Pusat) memutuskan supaya pemilihan Ketua Cabang PKR Jempol perlu diadakan semula,” katanya kepada pemberita selepas Istiadat Pembukaan Persidangan Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Ke-15 di sini hari ini.

Berdasarkan keputusan mesyuarat MPP semalam, ahli parti yang menjadi calon dalam Pemilihan Keadilan 2025 dan kemudiannya didapati merupakan ahli parti lain akan digugurkan keanggotaannya.

Aminuddin yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Negeri Sembilan menegaskan, tindakan diambil itu penting demi menjaga integriti dan keselamatan parti.

“Kita dapati ada yang masuk parti hanya semata-mata untuk bertanding dan mendapatkan jawatan. Berdasarkan siasatan terperinci, memang sah (Azizah) ahli parti lain, jadi kena keluarkan dia demi keselamatan parti,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa pihaknya sedang menilai kedudukan ketua-ketua cabang lain, dan tidak menolak kemungkinan tindakan serupa akan diambil sekiranya berlaku pelanggaran syarat atau peraturan parti.

“Kita akan serahkan kepada JPP untuk buat keputusan, dan kita masih boleh lagi memberikan maklumat tambahan,” tambahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya