PETALING JAYA: Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung akan mengemukakan rayuan rasmi kepada Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) berhubung kekalahan beliau dalam perebutan jawatan Ketua Cabang PKR Petaling Jaya, Sabtu lalu.
Beliau yang juga Pengarah Komunikasi PKR dalam satu kenyataan berkata, keputusan tersebut dibuat selepas mengadakan perbincangan dengan pasukannya.
“Sejak keputusan pemilihan Cabang PKR Selangor diumumkan, saya telah menerima pelbagai panggilan dan mesej yang mempersoalkan ketelusan keputusan serta proses pemilihan tersebut.
“Justeru selepas berbincang bersama pasukan, saya telah membuat keputusan mengemukakan rayuan rasmi kepada JPP,” katanya menerusi kenyataan di Facebooknya hari ini.
Sebagai rekod, Chean Chung memperoleh 2, 684 undi tewas kepada Ketua Cabang PKR Petaling Jaya, Hee Loy Sian yang memperoleh 2,900 undi.-UTUSAN