JOHOR BAHRU: Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir akan mengemukakan bantahan rasmi kepada Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) susulan kekalahan dalam pemilihan Ketua Cabang PKR Johor Bahru, Ahad lalu.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru turut mempertahankan jumlah sekurang-kurangnya 949 undi yang diterimanya.
Katanya, jumlah itu disokong oleh Borang 14 yang telah diperakukan oleh Ketua Tempat Mengundi, senarai pengundi berserta tandatangan pengakuan dan bukti bergambar.
“Seperti yang pernah saya kongsikan, angka-angka bukan sekadar anggota yang mengundi, malah bukti pengundian dan sokongan telah direkodkan secara jelas.
“Oleh itu, seorang pasukan saya yang mengetuai operasi pada hari pengundian telah membuat akuan bersumpah bagi mempertahankan jumlah undi sekurang-kurangnya 949 undi yang diterima saya, Ahad lalu,” katanya dalam hantaran menerusi akaun Facebook rasminya hari ini.
Ahad lalu, Akmal tewas kepada Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor, Mohamad Taufiq Ismail bagi pemilihan Ketua Cabang PKR Johor Bahru.
Berdasarkan laman sesawang keputusan Pemilihan PKR 2025, Akmal gagal mempertahankan jawatannya itu selepas hanya meraih 587 undi, manakala Mohamad Taufiq memperoleh 709 undi.
Akmal memohon supaya semua kekal bertenang sementara bantahan dihantar secara rasmi mengikut saluran yang ditetapkan.
Ahli Parlimen Johor Bahru itu turut mempertikai kekalahannya yang disifatkan sebagai fenomena ‘badan tanpa kepala’ kerana majoriti Ahli Jawatankuasa (AJK) Cabang Johor Bahru yang menang, iaitu 10 orang adalah daripada pasukannya. – UTUSAN