PETALING JAYA: Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyaksikan kebangkitan akar umbi yang dianggap sebagai satu ‘revolusi demokrasi’ apabila ramai tokoh besar yang sebelum ini mendominasi parti atas nama kartel, ditolak oleh ahli.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menyifatkan keputusan pemilihan kali ini sebagai isyarat jelas bahawa ahli-ahli akar umbi menolak politik elit dan politik kartel yang telah merosakkan parti selama ini.
“Itulah rumusan yang saya dapat simpulkan apabila ramai pemimpin yang menang dalam Pemilihan PKR 2022 atas platform ‘Ayuh Malaysia’ yang cuba menyisihkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Ini kerana, mereka kini menemui kekalahan mengejut di tangan calon-calon akar umbi yang tidak mempunyai nama besar, tidak memegang jawatan menteri, timbalan menteri mahupun ahli Parlimen,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau mengulas Pemilihan PKR Peringkat Cabang, Wanita dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) bermula 11 April lalu yang menyaksikan beberapa nama besar termasuk individu berstatus menteri dan ahli Parlimen tewas.
Antaranya Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad gagal mempertahankan jawatan Ketua Cabang Setiawangsa; Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim tewas bagi pemilihan jawatan Timbalan Ketua Cabang Hang Tuah Jaya dan Timbalan Menteri Perpaduan, K. Saraswathy tewas bagi Cabang Bukit Bintang.
Hassan berkata, sesetengah pemimpin yang diberi kepercayaan menduduki jawatan dalam kerajaan sejak kemenangan Pakatan Harapan (PH) menjadi semakin terasing dan tidak lagi berhubung dengan anggota biasa parti yang selama ini berjuang menaikkan mereka.
“Ada antara mereka kini menjadi elit berkuasa di koridor Putrajaya, sukar dihubungi, tidak turun ke kawasan dan seolah-olah melupakan ahli biasa PKR yang dahulu menggantung poster dan berkempen untuk mereka.
“Malah ada yang keluar daripada kumpulan WhatsApp yang dihuni penyokong sendiri,” katanya.
Beliau berkata, pemilihan kali ini di semua 222 Cabang seluruh negara membuktikan akar umbi mampu membersihkan parti daripada elemen yang mementingkan kuasa dan kepentingan diri.
“Pilihan raya PKR kali ini adalah revolusi demokrasi tercanggih dalam sejarah parti iaitu satu bentuk pembersihan kepimpinan daripada budaya kartel dan elitisme yang semakin menular sejak PKR menjadi parti utama dalam kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri,” katanya. – UTUSAN