Pemergian Pak Lah menyentak jiwa - PM

Pemergian Pak Lah menyentak jiwa – PM

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pemergiaan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai berita yang amat menyentak jiwa beliau.

Perdana Menteri turut mengimbau kenangan beliau ketika menziarahi Allahyarham yang ketika itu berada dalam keadaan sangat uzur sehingga menyebabkannya sedih. 

Katanya, Allahyarham menunjukkan sifat sebagai individu yang cukup tenang dan penyayang.

“Masih segar di ingatan tatkala kali terakhir menziarahi beliau yang berada dalam keadaan sangat uzur lantas meruntun jiwa yang hiba. 

“Namun saat tangan kami bersentuhan, matanya yang kabur masih memancarkan sinar kasih dan sikap damai yang tidak pernah padam,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Dalam pada itu, Anwar menyifatkan Allahyarham sebagai negarawan ulung yang berjiwa besar dengan menerapkan naratif baru dalam politik kekuasaan di Malaysia.

“Allahyarham menerima kehadiran saya dengan penuh adab dan ihsan walaupun pernah berada di medan politik yang bertentangan. 

“Itulah betapa besarnya jiwa seorang negarawan ulung,” jelasnya.

Menurut Anwar lagi, dengan pendekatan Islam Hadhari, Allahyarham turut  menghubungkan  antara aspek kemajuan dan pembangunan dengan nilai Islam. 

“Di bawah kepemimpinannya, kita telah menyaksikan reformasi di bidang kehakiman, ketelusan dalam pentadbiran, dan pemerkasaan institusi.

“Beliau adalah sosok yang memerdekakan suara rakyat melalui pembukaan ruang media dan penyertaan awam. Pentadbiran beliau berpaksi pada Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) yang memacu pertumbuhan ekonomi serta memfokuskan pembangunan insan dan di pedesaan,” katanya.

Menurut Anwar juga, Allahyarham turut mengajar rakyat di negara ini  erti kemanusiaan dalam kepemimpinan.

“Beliau memimpin dengan wajah yang tidak marah, tangan yang tidak menggenggam kuasa, dan suara yang tidak meninggi meski diasak bertubi-tubi. 

“Saya masih ingat sewaktu saya sendiri bergelut dalam episod hidup yang gelap dan derita, beliau tidak pernah menambah luka dengan kata-kata nista. Itulah peribadi Pak Lah yang sentiasa memilih damai meski mudah untuk membalas,” ujarnya.

Anwar dalam masa yang sama turut mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham 

“Kepada keluarga Tun Jeanne, anakanda Khairy Jamaluddin dan keluarga besar beliau, saya ucapkan takziah setulusnya dari lubuk hati. Seluruh negara turut bersedih atas kehilangan seorang negarawan yang membumi. Selamat jalan Pak Lah

“Malaysia terhutang budi kepada jasa dan budi bicaramu. Semoga ruh allahyarham ditempatkan dalam kalangan para solihin, diampunkan segala dosanya dan dikurniakan ganjaran syurga atas segala kebajikan yang telah ditabur sepanjang hayat beliau,”ujarnya. –UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN