Pembukaan kilang Jabil bakal jadi lembaran baharu pertumbuhan ekonomi Perlis

Pembukaan kilang Jabil bakal jadi lembaran baharu pertumbuhan ekonomi Perlis

TUANKU Syed Sirajuddin Jamalullail (tiga dari kanan) berkenan merasmikan pembukaan kilang Jabil yang beroperasi di CVIA, Padang Besar, Perlis hari ini. -UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Syarikat Jabil menjadi pelabur pertama yang beroperasi secara rasmi di Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA) di sini menerusi pembukaan kilang pembuatan semi konduktor baharu di lokasi berkenaan.

Majlis perasmian kilang baharu berkeluasan 45,000 kaki persegi itu disempurnakan oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail. 

Berangkat sama pada majlis berkenaan, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bersama anakanda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail yang turut dihadiri Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli; Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Mohamad Haris Kader Sultan dan Naib Presiden Eksekutif Operasi Jabil, Frederic McCoy.

Tuanku Syed Sirajuddin bertitah, perasmian itu bukan sekadar pembukaan sebuah fasiliti namun merupakan permulaan kepada lembaran baharu dalam pertumbuhan ekonomi di negeri ini.

“Pembangunan sebuah kilang pembuatan semi konduktor dari luar negara yang dibina di CVIA ini merupakan satu pencapaian amat bermakna buat Perlis. Langkah ini juga dapat membuka jalan kepada lebih banyak pelaburan dan peluang di hab industri yang sedang pesat membangun ini,” titah baginda.

Tuanku Syed Sirajuddin bertitah, pelaburan bagi fasiliti berkenaan juga dapat membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti tinggi, di samping memupuk pembangunan kemahiran dan mendorong dalam kemajuan teknologi.

Titah baginda, perkembangan ini akan memberi manfaat kepada seluruh rakyat negeri ini dan mencerminkan komitmen Jabil terhadap pembangunan industri lebih besar di CVIA.

“Ini adalah merupakan hasil perancangan yang teliti, visi ke hadapan dan komitmen bersama dalam membangunkan ekonomi negeri yang lestari serta makmur,” titah baginda.

Sementara itu, Frederic berkata, pembukaan fasiliti baharu itu dapat membantu dalam meningkatkan lagi pengeluaran kapasiti dan skala syarikat berkenaan bagi memenuhi permintaan pelanggan.

Katanya, Jabil juga bersedia membawa kepakaran pasaran dan pembuatan syarikat mereka ke negeri ini dalam mewujudkan ekosistem pembuatan yang lebih kondusif.

“Pembukaan fasiliti baharu di CVIA ini juga adalah bersempena ulang tahun ke-30 operasi Jabil di Malaysia malah ia membolehkan kami meningkatkan kapasiti selepas ini,” katanya.

Sementara itu, dimiliki dan dibangunkan of MRCB, mengukuhkan kedudukan syarikat itu bukan sahaja sebagai pemaju tetapi pemilik jangka panjang aset industri. Kemudahan mempunyai keluasan 101,059 kaki persegi, dibina di tanah seluas 9.70 ekar akan membantu menjadi hab untuk pertumbuhan masa depan Jabil di rantau Asia Pasifik. Jabil akan menyewa kemudahan itu daripada MRCB untuk tempoh 10 tahun, dengan opsyen untuk disambung selama lima tahun. Kemudahan perindustrian itu akan menyumbang kepada pembangunan industri Perlis. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya