KOTA BHARU: Seorang pembantu kedai makan mengaku tidak bersalah Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan merogol kanak-kanak berusia 12 tahun di sebuah rumah di Kampung Pintu Geng, dekat sini, Disember lalu.
Tertuduh, Nuh Che Hamzah, 25, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.
Mengikut pertuduhan, pemuda itu didakwa merogol seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun tiga bulan semasa kejadian di sebuah rumah di Kampung Pintu Geng, kira-kira pukul 9.30 malam pada 8 Disember lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan jaminan RM12,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan 15 Mei ini untuk sebutan semula kes. – UTUSAN