TAPAH: Parti Sosialis Malaysia (PSM) melancarkan Manifesto Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning yang menawarkan manifesto yang lengkap dan bersifat komprehensif.
Calon PSM, Bawani KS, 40, berkata, manifesto itu berdasarkan pengalaman beliau yang merupakan anak jati Taman Ria Ayer Kuning selama hampir 40 tahun.
“Sebagai peguam dan aktivis masyarakat, saya sehingga kini masih menetap di sini, Ayer Kuning memerlukan banyak perubahan bersifat radikal.
“Tiga daripada lima tuntutan rakyat rakyat pada PRU15 telah tercapai iaitu jalan diturap baru, sebuah mesin ATM di stesen minyak dan Perak Transit megambil alih perkhidmatan bas awam,” katanya kepada pemberita di Stesen Bas Awam Tapah di sini hari ini.
Katanya, manifesto parti itu menggariskan tiga teras utama iaitu pembangunan yang seimbang dan sekata, kemudahan asas yang mencukupi dan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang cekap.
“Saya inginkan naik taraf pekan sekitar Ayer Kuning, wujudkan peluang pekerjaan dengan gaji yang setimpal dan lebih banyak rumah mampu milik dibina dengan harga kurang RM100,000.
“Kemudahan asas yang mencukupi iaitu naik taraf pasar awam, masalah gangguan elektrik yang kerap berlaku, naik taraf liputan telekomunikasi serta fasiliti pejabat pos, bank dan kemudahan sukan,” katanya.
Tambah beliau, PBT perlu lebih cekap dengan strategi naik taraf sistem peparitan, saliran longkang dan lampu jalan utama.
“Membaik pulih papan tanda yang rosak dan uzur, menyelenggara taman rekreasi selain menukar lot perumahan ‘master title’ kepada individu.
“Sekiranya saya terpilih isu-isu ini akan diselesaikan segera dengan kerjasama semua pihak,” katanya. – UTUSAN