Pemandu lori trauma diserang harimau kumbang

Pemandu lori trauma diserang harimau kumbang

RAKAMAN video yang tular memaparkan seekor harimau kumbang melarikan diri selepas menyerang seorang pemandu dalam kejadian yang dipercayai berlaku di Bukit Tangga dekat Seremban, minggu lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang pemandu lori yang diserang harimau kumbang ketika berhenti di Jalan Bukit Tangga di sini pada Khamis lalu mengakui masih trauma dengan kejadian tersebut.

Suresh, 54, berkata, bagaimanapun dia bersyukur kerana hanya mengalami kecederaan akibat cengkaman kuku haiwan liar tersebut dan telah dibenarkan keluar dari selepas tiga hari menerima rawatan.

“Sampai sekarang saya tidak dapat tidur nyenyak kerana terbayang-bayang harimau itu menerkam saya. Saya pun tak tahu dari mana ia datang, tetapi  memang mengejutkan dan menakutkan,” katanya.

Bercerita lanjut,  bapa kepada dua anak itu berkata, ketika kejadian dia dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur selepas menghantar makanan ayam di Jelebu.

Suresh yang berasal dari Klang, Selangor memberitahu, dia berhenti di lokasi kejadian kerana mahu memeriksa keadaan lorinya dan membuang air kecil. 

“Tengah saya nak cuci tangan, harimau itu lompat ke atas saya dan cuba menggigit kepala saya, tapi saya sempat masukkan botol air ke dalam mulutnya. 

“Kalau tidak, sudah tentu saya sudah mati dan luka di kepala saya pun disebabkan cengkaman kukunya saja,” katanya. 

Tambahnya, dia bernasib baik kerana ada kenderaan lain yang berhenti di hadapan dan membantunya menghubungi ambulans. 

Suresh turut menasihatkan pemandu lori dan pengguna jalan raya lain supaya berwaspada ketika melalui jalan tersebut dan berhenti di kawasan yang selamat. 

“Sepanjang enam tahun saya berulang alik ke Jelebu, tidak pernah pula saya nampak harimau kumbang di situ. 

“Pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) ada datang melawat saya di hospital dan beritahu harimau yang menyerang saya dianggarkan seberat 80 ke 90 kilogram,” katanya yang sudah 25 tahun bekerja sebagai pemandu lori. 

Suresh juga tidak menyangka kejadian itu tular di media sosial dan disebabkan itu pelbagai pihak datang melawatnya di hospital. 

Sebelum ini, media melaporkan rakaman video tular di media sosial yang memaparkan kejadian mangsa diserang harimau kumbang tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN