JOHOR BAHRU: Seorang pekerja bengkel mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini semalam atas dua pertuduhan termasuk memandu dalam keadaan mabuk yang menyebabkan kematian seorang penghantar makanan pada 13 April lalu.
Kok Zi Kang, 25, didakwa memandu kereta BMW 530i di bawah pengaruh alkohol yang melebihi had dibenarkan iaitu 26 miligram (mg) dalam setiap 100 mililiter (ml) darah dan menyebabkan kematian mangsa, Mohd. Taufik Ariff Sariff, 37, di Kilometer 16, Jalan Johor Bahru-Kota Tinggi, berhampiran Taman Desa Jaya, pada sekitar 2.10 pagi.
Selain itu, tertuduh menghadapi tuduhan mempamerkan nombor pendaftaran palsu pada kereta yang dipandunya sekitar pukul 4.30 pagi di Balai Polis Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam, pada hari yang sama.
Zi Kang didakwa di bawah Seksyen 44(1)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda maksimum RM100,000.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Amirah Tasnim Salleh, sementara tertuduh diwakili oleh peguam bela, Chuah Shyue Chien.
Majistret Nur Fatin Mohamad Farid membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan syarat melapor diri di balai polis setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah, selain lesen memandu tertuduh digantung sehingga perbicaraan selesai.